Pada 19 April, saya bersama kumpulan Bakti Siswa 17 bertolak
ke Felda Palong 12 dan 13 di Gemas, Negeri Sembilan pada pukul 3 petang.
Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 3 jam. Sepanjang perjalanan,
mata kami disajikan dengan pemandangan yang indah dan hijau, lebih-lebih lagi
apabila kami mula memasuki kawasan kampung. Sebaik sahaja kami menjejakkan kaki
ke tanah Palong, bunyi paluan kompang mengiringi langkah kami. Sambutan orang
kampung terhadap kedatangan kami begitu meriah. Ramai ibu bapa dan kanak-kanak
menunggu ketibaan kami. Selesai majlis perasmian, kami diagihkan dan diberi ibu
bapa angkat sepanjang tempoh peginapan kami di sana selama tiga hari. Pada hari
pertama, kami tidak melakukan banyak aktiviti. Selepas majlis perasmian, kami
dibenarkan mengikut ibu bapa angkat kami pulang ke rumah untuk sesi perkenalan.
Saya berkongsi ibu angkat bersama dua rakan kumpulan. Rumah ibu angkat kami
terletak di Palong 12, bersebelahan dengan Palong 13. Saya berasa agak terkejut
melihat betapa luasnya kawasan di sana.
Pada hari esok, kami melawat kebun-kebun getah di sekitar
Felda. Kami dapat melihat dan belajar
cara mengenal pasti pokok getah yang sudah matang dan cara menoreh yang betul
supaya mendapat susu getah yang banyak. Kami semua diberi peluang untuk menoreh
getah pada pokok getah yang sudah tua. Ianya pengalaman yang baru bagi kami
semua kerana rata-rata berasal dari bandar.
Pada waktu tengahari, kami menganjurkan aktiviti sukaneka
bagi penduduk Palong. Aktiviti sukaneka tersebut dibahagikan kepada tiga
kategori iaitu kanak-kanak, belia, dan warga emas. Saya mengendalikan aktiviti
sukaneka untuk golongan kanak-kanak bersama lima rakan kumpulan.
Aktiviti-aktiviti yang dijalankan disambut dengan baik oleh penduduk Palong dan
penyertaan mereka sangat menggalakkan. Selesai aktiviti sukaneka, ketua kampung
dan beberapa warga kampung membawa kami ke sebuah rumah untuk menyertai
kenduri. Saya difahamkan pemilik rumah sudah beberapa minggu merancang untuk
membuat kenduri kesyukuran. Apabila berita kedatangan kami sampai ke telinga,
dia turut memanjangkan jemputan kepada rombongan kami. Kemudian, kumpulan kami
bersama dengan beberapa penduduk kampung pergi menziarahi penduduk-penduduk
kampung yang menghidap penyakit kronik. Kumpulan kami telah menyediakan sedikit
sumbangan untuk diberi kepada keluarga pesakit. Pada waktu malam, kami
menganjurkan “Malam Karaoke” untuk penduduk kampung sebagai hiburan.
Pada hari terakhir kami di sana, kami membuat aktiviti
bersama pelajar-pelajar sekolah rendah Palong. Antara aktiviti yang dilakukan
bersama mereka ialah ice breaking,
ceramah motivasi, dan beberapa permainan. Selepas tamat aktiviti bersama
pelajar sekolah, kami bertolak ke kawasan perkuburan Islam Palong untuk
aktiviti gotong-royong. Pelajar perempuan diberi tugasan mengecat batu-batu
penanda manaklala pelajar lelaki diberi aktiviti berat. Selepas itu, kami
pulang ke rumah keluarga angkat masing-masing untuk mengemas barang. Pada waktu
tengahari, tiba masa untuk Program Penyerahan Semula Anak Angkat dan majlis
penutup. Kami mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga angkat kami dan
penduduk kampung. Kami bertolak pulang ke UPM pada pukul 2 petang.
Bagi saya, program ini memberikan pengalaman yang baru bagi
saya. Saya dan rakan-rakan saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Felda, jadi ia
merupakan kali pertama kami ke penempatan Felda dan melihat suasana di sana
serta gaya hidup penduduk Felda. Saya dan rakan-rakan juga tidak pernah
terlibat dalam program keluarga angkat. Pada mulanya, kami berasa sedikit
gementar memikirkan tanggapan mereka kepada kami tetapi layanan mereka yang
baik membuatkan kami selesa dan seronok di sana. Apabila tiba waktu untuk kami
pulang, saya lihat ramai ibu bapa angkat yang tidak dapat menahan rasa sedih untuk
berpisah dengan kami. Saya mendapat tahu bahawa ini merupakan kali pertama
mereka menerima rombongan pelajar dari universiti dan ini juga kali pertama
mereka mengadakan program anak angkat. Justeru, saya faham dengan sambutan
mereka yang begitu meriah pada hari pertama dan suasana yang muram pada majlis
perpisahan. Untuk kumpulan bakti siswa yang akan datang, saya mengesyorkan
kalian pergi ke Felda Palong. Sambutan, penglibatan dan layanan mereka amat
baik. Mereka sangat mesra terhadap kami. Golongan ibu bapa juga bersikap
penyayang dan baik hati. Kanak-kanak di sana sangat lincah dan suka bermain
dengan kami walaupun malu-malu. Jujur, saya sangat rindukan suasana dan
penduduk Palong terutamanya ibu angkat saya. Kami semua berharap dapat pergi ke
sana semula.
Comments
Post a Comment