“Hujan”




Ada insan yang sekadar merasai hujan
Ketika titis-titis hujan turun dari langit
Membasahi setiap sudut yang boleh dibasahi
Seronok bermain dalam hujan

Ada insan yang membiarkan
Perasaannya hanyut dalam hujan
Membiarkan setiap titis air membasahi kulitnya
Berdiri dalam kebasahan tanpa menghiraukan apa-apa

Alangkah amannya diri
Jika hujan yang turun ini
Dapat mengambil kesakitan yang dirasai ini
Dengan setiap titisan air yang membasahi diri
Secebis rasa perit dapat dibawa pergi
Bersama dengan air hujan yang dibawa hanyut

Jikalau hujan ini dapat membawa pergi kekosongan ini
Dia akan berdiri di bawah langit yang gelap itu
Setiap titis air mata yang membasahi pipinya
Bersatu dengan titisan air hujan yang menyembah dirinya

Jikalau hujan ini dapat membawa pergi kekosongan ini
Akan dia paksa dirinya berdiri dalam dingin hujan
Sehingga tubuhnya menggeletar kesejukan
Tidak sesekali dia akan mengerakkan kakinya

Jikalau hujan ini dapat menghentikan kekosongan ini
Dia rela jasadnya dihanyutkan oleh ombak yang deras
Biarlah dia lemas dengan air yang menderu masuk ke jantung
Sehingga dia tidak dapat merasai apa-apa

-x-

Saya menulis “Hujan” ketika saya berada dalam keadaan yang boleh dikatakan tidak tenteram, hilang dan kosong. Pada mulanya, saya agak gementar untuk berkongsi sajak ini kerana saya berpendapat ianya terlalu gelap dan “depressing”. Apabila saya berfikir balik, sajak bukan sahaja bertujuan untuk menasihat atau mengkritik, sajak juga menjadi platform untuk penulis mencurahkan perasaan. Bagi saya, ianya sebuah “escape mechanism”, sebuah cara untuk saya melepaskan tekanan dan meluahkan isi hati.



Comments