Saban hari apabila saya membuka applikasi Twitter, saya
sering ternampak berita dan video tentang keganasan polis terutamanya terhadap
golongan African-American di Amerika. Terus-terang, saya berasa luluh melihat
mereka yang tidak bersalah dilayan seperti haiwan dan kadang-kadang dipijak.
Malah, ada yang ditembak tanpa sebarang amaran. Kadang-kadang timbul rasa
geram. Mengapa?
Jika A mengeluarkan kata-kata kesat kepada seorang pengawai
polis, dia akan diberi amaran atau ditumbuk. Jika B cuba mempertahankan diri,
dia akan digari dengan serta-merta. Lebih kerap, jika C cuba mengeluarkan
dompet, dia akan ditembak dengan alasan “bimbang akan keselamatan’.
Ini tidak sepatutnya berlaku. Sikap salah laku dalam
kalangan polis terlalu kerap terjadi terutamanya terhadap POC (people of colour). Tiada polis yang
berhak mendapat lesen istimewa untuk
menggunakan keganasan apabila tidak dihormati. Pada pendapat saya, jika mereka
tidak boleh melakukan kerja tanpa membunuh mereka yang tidak bersenjata, mereka
tidak layak mendapat lencana mereka. Ianya mudah.
Saya perhatikan ramai di antara kita yang pernah merasai
perasaan tidak dihormati atau dipandang rendah terutamanya mereka yang bekerja
di bahagian khidmat pelanggan atau runcit. Hampir setiap hari, ada pelanggan
yang biadap terhadap mereka. Malah, ada pelanggan yang melontarkan barang
kepada mereka. Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi di mana seorang
pelanggan memarahi saya dengan suara yang kuat kerana barang yang dia mahu
tiada di dalam stok. Sungguh saya berasa amat malu apabila pelanggan lain
memandang. Geram juga ada apabila pelanggan enggan mendengar penjelasan. Malah,
ada juga pelanggan yang membiar saya mencari, mengambil, dan membawa
barang-barangnya sedangkan dia hanya berdiri. Niat di hati untuk menolong
isterinya yang tidak dapat membawa bakul kerana berjalan menggunakan tongkat,
kesudahannya diambil kesempatan. Kadang-kadang, saya rasa seperti hendak
mencampak barang yang ada di tangan ke arah mereka tetapi tidak. Kami terpaksa bertolak-ansur, sabar dan
melayan perangai mereka dengan senyuman. Segala kata-kata kesat yang mereka
lontarkan kami terpaksa terima. Kadang-kadang, pekerja sendiri yang menjadi
mangsa.
Jika seorang polis tidak dapat menangani rasa tidak puas
tanpa menembak orang, dia tidak layak menjadi polis. Tiada sebab untuk polis
yang dilatih untuk bersikap profesional untuk bertindak sewenang-wenangnya.

Comments
Post a Comment