Survivor Bias






Saya yakin kalian tahu cerita bagaimana Mark Zuckerberg berhenti dari Harvard untuk memulakan Facebook, Steve Jobs berhenti dari kolej dan mengasaskan Apple dan Dato’ Sri Aliff Syukri, seorang jutawan yang berjaya meluaskan perniagaan kecilnya. Apakah persamaan antara tiga ahli perniagaan ini? Mereka bertiga bermula dari bawah dengan tangan yang kosong sehingga masing-masing berjaya dalam bidang perniagaan mereka.

Tentunya kisah mereka menjadi inspirasi kepada masyarakat, terutamanya golongan muda. Namun, di sebalik kisah kejayaan mereka, ada segelintir yang salah faham tentang konsep kejayaan. Bagi mereka, pelajaran tidak penting dalam misi untuk mencapai kejayaan hanya kerana kebanyakan jutawan ini berhenti dari sekolah atau berhenti menyambung pelajaran dari kolej.

“Kalau Steve Jobs boleh berhenti dari kolej dan jadi jutawan, kenapa aku tidak boleh?”

“Alah, pelajaran tidak penting pun, di Instagram itu ramai self-made millionare yang tak ada degree!”

“Aku tidak perlukan sekolah, aku boleh jadi YouTuber! Buat video, dapat duit!”

Berhenti. Fikir semula jika anda setuju dengan kata-kata ini. Saya faham bahawa apabila kita hendak memulakan sesuatu perniagaan, sudah tentu kita akan lihat dan kaji mereka yang berjaya dalam bidang perniagaan. Saya akui bahawa kita semua boleh belajar daripada mereka tetapi pandangan kita kadangkala agak “bias”. Di sini di mana konsep “Survivor Bias” datang mencelah.

Apa itu Survivor Bias? Survivor Bias ialah sejenis pemilihan secara bias di mana perhatian ditumpukan kepada mereka atau apa-apa benda yang ‘berjaya’ dan mengabaikan mereka yang tidak. Untuk menjelaskannya dengan mereka, kita hanya mendengar daripada mereka yang berjaya. Mereka yang gagal kita hiraukan hanya kerana kita tidak tahu tentang mereka.

Apa yang saya perhatikan, ramai anak muda begitu fokus dan mengikut jejak langkah mereka yang insta famous dan YouTubers yang popular. Sebahagian daripada mereka membuat keputusan untuk tidak menyambung pelajaran. Disebabkan itu, mereka juga berfikiran mereka tidak perlukan pelajaran untuk masa hadapan. Ini pemikiran yang salah. Jangan disebabkan anda lihat mereka berjaya tanpa pelajran, anda berbuat demikian. Banyak faktor yang memainkan peranan dalam kejayaan mereka.

Sebagai contoh, Mark Zuckerberg sejak dari zaman sekolah sudah mahir menggunakan komputer dan membina program perisian. Di universiti, dia telah mencapai reputasi sebagai “programming prodigy”. Dia berhenti dari Harvard hanya apabila “Facebook” betul-betul berjaya. Ianya bukan keputusan yang diambil dengan sewenangnya. Tetapi apa yang ramai nampak adalah “Zukerberg berhenti dari Harvard dan dia berjaya”. Apa yang mereka gagal lihat ialah faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kejayaan Zuckerberg. Begitu juga dengan Dato’ Sri Aliff Syukri, mereka lebih fokus kepada naratif “gagal dalam SPM tetapi berjaya jadi jutawan” dan menghiraukan maklumat seperti beliau memang sejak kecil berkecimpung dalam bidang perniagaan dan sudah tahu selok-belok bidang tersebut.



Jangan hanya fokus kepada maklumat yang menarik minat anda. Pertimbangkan faktor-faktor lain. Ingat, kita hanya tahu kisah mereka yang berjaya. Bagaimana pula dengan mereka yang gagal? Adakah kita kenal pada mereka? Adakah kita tahu faktor-faktor yang menyebabkan mereka gagal?

Pada pendapat saya, dalam situasi sebegini, kita perlu medengar dari kedua-dua belah pihak. Ambil inspirasi dari mereka yang berjaya, belajar dari mereka yang gagal. Naratif seperti “tidak perlukan pelajaran untuk berjaya’ perlu dibuang. Bagi saya, ianya hanya kebetulan sahaja mereka berhenti dari kolej. Ianya bukan faktor kejayaan mereka.

Pelajaran itu penting, walau apa bidang yang anda ceburi. Alasan seperti, “aku tak guna pun algebra masa kerja, kenapa kena belajar?” Walau benar bagaimana sekalipun kenyataan itu untuk anda, sekolah tidak hanya mengajar anda matematik, sains, geografi dan sebagainya. Sekolah juga mengajar anda displin dan etika. Begitu juga apabila anda di universiti, tidak kira apa bidang pengajian anda, perjalan untuk menamatkan pelajaran memerlukan dedikasi dan etika yang berbeza berbanding dengan sekolah menengah. Kedua-dua peringkat mengajar anda kemahiran hidup yang berharga dan pemikiran kritikal.  

Comments