Anak



Saya telah lama membuat keputusan bahawa saya tidak berminat untuk menjalinkan hubungan dengan sesiapa dan saya tidak mahukan anak. Apabila saya memberitahu rakan-rakan saya ini, mereka terkejut. Hanya seorang rakan saya yang faham dan tidak bertanya soalan. Mereka yang lain bertanya kenapa dan meluahkan rasa tidak percaya terhadap kenyataan saya. Malah, ada yang turut mendoakan sebaliknya.

Bagi saya, ianya tidak pelik. Saya tahu ramai di luar sana mempunyai fikiran yang sama dengan saya. Masing-masing mempunyai alasan sendiri mengapa mereka membuat keputusan sebegitu, begitu juga dengan saya.

Saya tahu saya tidak mahu anak apabila saya menjaga sepupu-sepupu saya. Secara jujurnya saya tidak tahan dengan telatah kanak-kanak. Saya juga agak panas baran. Saya cepat berasa marah apabila mereka bersikap mengada-ngada atau menangis. Ketika itu saya tahu, jika sekarang saya tidak tahan dengan perangai sepupu-sepupu saya, bagaimana pula dengan anak sendiri di masa depan? Ia semakin bertambah apabila saya kadang-kadang ternampak sikap kanak-kanak di kedai makan dan kompleks beli-belah. Saya menjadi semakin rimas dengan mereka.

Saya tahu anda mungkin fikir saya mementingkan diri sendiri kerana saya berani menyatakan saya tidak mahukan anak. Tidak, sebaliknya saya membuat keputusan sebegini kerana saya tahu betapa besarnya tanggungjawab membesarkan anak dan menjadi ibu yang baik serta membuat keputusan yang terbaik untuk mereka. Saya boleh dikatakan membesar dalam keluarga yang bahagia walaupun ada masanya saya berasa geram dan kecewa apabila ibu bapa enggan mendengar pendapat dan apabila saya terkena tempias kemarahan mereka. Ia tidak adil dan saya tidak mahu meletakkan sesiapa sekalipun dalam situasi sebegitu.

Saya ada sebab-sebab yang lain mengapa saya tidak mahu anak. Saya tidak minta anda faham sebab-sebab, saya minta anda hormat keputusan saya dan mereka yang lain.




Comments